Khamis, 6 Oktober 2016

Karamah Saidina Uthman Bin Affan ra


Assalamualaikum wbt..

In sha Allah, kini kita telah sampai kepada kisah mengenai Khalifah ke-3 dari kalangan Khulafa' Ar-Rasyidin, Saidina Uthman Ibn Affan ra.. Nama lengkapnya ialah Uthman bin Affan bin Abil As bin Umayyah bin Abd asy-Syams bin Abdi Manaf bin Qusyai bin Kilab dari keturunan Bani Umayyah.. Dilahirkan 6 tahun selepas tahun Gajah di Mekah oleh Arwa binti Kuriz bin Rabi'ah..

Beliau merupakan salah seorang as-Sabiqunal awwalun iaitu orang2 terdahulu memeluk Islam melalui Saidina Abu Bakar dan tersenarai di kalangan 10 Sahabat dijanjikan syurga semasa mereka masih hidup.. Menerima panggilan Abu Abdullah dan gelaran Zunurrain yang bermaksud yang memiliki dua cahaya kerana menikahi dua orang anak Rasulullah saw iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum ra..

Makam Ruqayyah dan Ummu Kalthum di Jannatul Baqi'


Selain menikahi Ruqayyah dan Ummi Kalthum, Uthman juga pernah menikahi Fakhasyah, Ummul Banin binti Unaib, Ramlah binti Shubait, Nailah al-Farafsa, Fatimah binti al-Walid dan Ummu Amr binti Jundub.. Hasil perkahwinannya, beliau memperoleh beberapa orang putera dan puteri seperti Abdullah al-Akbar, Abdullah al-Ashgar, Amru, Umar, Khalid dan ramai lagi..

Uthman terkenal sebagai seorang saudagar yang kaya raya di Mekah mahupun Madinah.. Beliau membesar dengan akhlak yang mulia seperti pemalu, pendiam, suci lisannya, sopan santun dan tidak pernah menyakiti orang lain.. Beliau juga tidak pernah mengamalkan amalan jahiliah seperti meminum arak, berzina dan membunuh.. Uthman merupakan di antara mereka yang berhijrah sebanyak 2 kali iaitu hijrah pertama ke Habsyah dan hijrah kedua ke Madinah..

Rumah Saidina Uthman sebelum dirobohkan kerajaan Saudi awal 1900-an

Kebun milik Saidina Uthman di Madinah

Pada peristiwa Hudaibiah, Uthman dilantik Rasulullah untuk menemui Abu Sufian di Mekah.. Ia bertujuan bagi memaklumi mereka tujuan rombongan Islam hanyalah untuk beribadah di Ka'abah.. Kemudian, tersebarnya berita Uthman telah dibunuh oleh kafir Quraisy.. Kecintaan umat Islam terhadap Uthman mendorong terjadinya Baiah al-Ridhwan bagi menuntut bela kematian beliau.. Kafir Quraisy yang ketakutan menghantar Suhail bin Amru untuk berunding dan memulangkan Uthman.. Maka, pertumpahan darah dapat dielakkan dan terhasilnya Perjanjian Hudaibiah..

Tempat Baiah al-Ridhwan dilaksanakan


Kepimpinan Uthman disedari Rasulullah apabila beliau diberi kepercayaan untuk menjadi wakil kota Madinah semasa Perang Zatir Riqa dan Perang Ghatafan..



Saya berpeluang melihat sendiri 2 bilah Pedang Saidina Uthman di Melaka


Kedermawanan beliau turut terserlah apabila membeli telaga jernih dari seorang Yahudi berharga 200 000 dirham untuk kegunaan orang ramai, memperbesar Masjid Nabawi dan membeli tanah di sekitanya, mendermakan 1000 ekor unta, 79 ekor kuda dan 100 dirham dalam Perang Tabuk bersamaan 1/3 kos ekspedisi serta memberi gandum yang dibawa 1000 unta untuk kaum miskin yang dilanda kemarau..

Telaga yang dibeli Uthman serta diwakafkan kepada umum


Setelah kewafatan Saidina Umar, beliau telah memilih 6 orang sebagai jawatankuasa Majlis Syura bagi pelantikan khalifah ke-3 yang terdiri daripada Uthman Affan, Ali bin Abi Talib, Abd Rahman Auf, Zubair al-Awwam, Talhah Ubaidillah dan Saad Abi Waqas.. Abd Rahman bertindak sebagai pengerusi manakala Zubair, Talhah dan Saad menarik diri.. Hasil kutipan suara, Uthman dilantik menjadi Khalifah ke-3 Khulafa' Ar-Rasyidin.. 

Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 644M sehingga 656M iaitu selama 12 tahun.. Beliau juga merupakan khalifah tertua yang dilantik pada usia 70 tahun.. Zaman pemerintahan Uthman merupakan zaman yang paling makmur dan sejahtera.. 

Beliau merupakan khalifah pertama yang memperbesar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.. Beliau juga telah menubuhkan mahkamah dan menjadi perintis penubuhan angkatan laut Islam yang pertama bagi perluasan kuasa.. Hasilnya, Syria, Palestin, Lebanon, Afrika Utara, Iran, Armenia, Afghanistan, Pulau Cyprus dan Pulau Rhodes jatuh ke tangan Islam.. 

Selain itu, antara sumbangannya yang terbesar ialah menyeragamkan mushaf Al-Quran yang disebut Mushaf Uthmani.. Beliau juga akan membebaskan hamba setiap hari Jumaat..

Al-Quran pertama Mushaf Uthmani tulisan tangan Saidina Uthman


Dalam zaman pemerintahannya, tercetuslah kekacauan yang didalangi Abdullah bin Saba'.. Akibatnya, berlakulah usaha untuk melakukan pemberontakan dan membunuh Saidina Uthman.. Hassan dan Hussain bin Ali serta Zubair bin Awwam bertindak mengawasi rumah beliau tetapi diminta untuk pulang oleh Uthman.. Ketika pemberontak memasuki rumah Uthman, dia ditemani isterinya, Nailah.. Beberapa jari Nailah terputus kerana ditetak oleh pedang ketika melindungi Uthman yang sedang membaca Al-Quran..

Al-Quran yang dibaca Uthman saat pembunuhannya


Akhirnya, pada tanggal 12 Zulhijjah 35H bersamaan 17 Jun 656M, Saidina Uthman dibunuh oleh pihak pemberontak.. Maka, kembalilah Uthman kepada pencipta-Nya dan bertemu kekasihnya Rasulullah di pagi mulia hari Jumaat ketika sedang berpuasa.. Beliau telah dimakamkan di Jannatul Baqi', Madinah..

Makam Saidina Uthman Affan di Jannatul Baqi', Madinah


KARAMAH SAIDINA UTHMAN AFFAN RA


1) Para Malaikat Malu Padanya

Aishah menceritakan, suatu hari Saidina Abu Bakar datang ke rumahnya bertemu Rasulullah.. Ketika itu, Rasulullah sedang berbaring dan betisnya tersingkap.. Kemudian, datang pula Umar dan Rasulullah tetap dengan kedudukan asalnya.. Apabila Uthman tiba, baginda lantas membetulkan duduk dan pakaiannya.. Aishah bertanya tentang hal itu dan baginda menjawab " Tidakkah aku akan malu kepada seseorang yang sesungguhnya malaikat telah malu kepadanya?"

2) Mampu Melihat Bekas Zina di Mata Orang

Suatu hari, seorang lelaki telah mencuri pandang terhadap seorang wanita rupawan dan kemudiannya dia datang kepada Uthman.. Uthman kemudian berkata " Bagaimanakah kaum yang datang kepadaku sementara di mata mereka ada bekas zina"..

3) Allah Menyiksa Orang Yang Menyakiti Uthman

Ibn Umar ra menceritakan, " Bahawa Jahjah al-Ghifari mendekati Uthman yang berada di atas mimbar, merebut tongkatnya lalu mematahkannya.. Tidak sampai setahun, Allah menimpakan penyakit yang melemahkan tangannya hingga meragut nyawanya..
(Riwayat al-Barudi dan Ibnu Sakan)

4) Mengetahui Hari Kematiannya

Uthman telah melihat Rasulullah sebelum beliau dibunuh.. Rasulullah bertanya "Uthman, apakah mereka mengurungmu?" Uthman menjawab "Ya". Lalu Rasulullah memberi Uthman minum sampai puas.. Rasulullah bersabda lagi " Jika engkau mahu bebas, maka engkau akan bebas, dan jika engkau mahu makan bersama kami, maka mari ikut kami" Uthman memilih untuk makan bersama mereka dan Uthman wafat..

Begitulah kisah menarik Saidina Uthman Affan.. Semoga dapat diambil ibrah dari sifat luhur dan kedermawanan beliau.. In sha Allah, jika berkesempatan saya akan kongsikan pula dengan lebih lanjut mengenai kisah Saidina Uthman Affan melalui ulasan novel Khalifah Uthman Affan Pengumpul Al-Quran karya Abdul Latip Talib..

Khalifah Uthman Affan Pengumpul Al-Quran


Wallahualam..
Keep Smile And Say Alhamdulillah :')

2 ulasan:

  1. terima kasih atas perkongsian..saya ambil yang haq sahaja lain2 tidak.

    BalasPadam
  2. Moga Kita mengambil kisah ibrah hidupnya kedlm hati ini agar Kita jua bersama2 dlm redhonya Allah..

    BalasPadam